Tuesday, August 26, 2008

Anak Oh! Anak


Semua kita tahu bahawa anak itu anugerah dan tanggungjawab pemberian Allah kepada manusia. Setiap manusia yang normal pasti menginginkan anak untuk menjadi pelengkap kehidupan alam berumahtangga. Ada dikalangan pasangan yang berkahwin mudah untuk mendapat anak (termasuklah aku), ada yang terpaksa menunggu lama sedikit dan lama banyak, ada yang anak laksana keretapi, ada juga yang hanya mendapat seorang anak sahaja dan ada juga yang tidak mempunyai anak langsung.

Perbincangan tentang anak ini sebenarnya luas skop dia, semasa bujang mungkin tidak merangkumi setiap perkembangan anak (walaupun aku amat suka dengan kanak-kanak) tetapi kini apabila berbicara dengan kawan-kawan JB (jauh bini) pastinya tentang perkembangan anak setiap bulan@minggu. Gambar anak boleh dikatakan setiap minggu balik kampung pasti dirakam. Desktop, softboard dalam bilik, hp, dan meja studi pasti ada gambar anak. Rupanya seksa berjauhan dengan anak lebih seksa dari berjauhan dari kekasih dan isteri (harap-harap isteri aku tak baca artikel ni).

Melihat pengorbanan isteri yang sanggup bangun tengah malam dan awal pagi untuk menyusu anak sememangnya menambahkan lagi respek aku dengan kaum hawa ini. Yalah, kalau aku bangun pun bukannya aku boleh bagi menyusukan anak (masa inilah masa eksklusif anak hendak menyusu badan sebab siang minum susu lembu). Sekiranya aku belum tidur atau terjaga masa anak merap (merengek), aku tolong juga sekadar menepuk-nepuk dan mendodoi sambil menyanyikan lagu dengan suara yang sumbang kepada anak dan isteri agar mereka tidak lagi merap dan tidur dengan nyenyak sampai pagi.

Berbicara tentang anak, aku benar-benar bersimpati dengan pasangan yang belum dikurniakan anak. Setahun mungkin boleh tahan lagi, tapi lima, lapan, lima belas tahun dan dua puluh tahun kahwin tetapi masih lagi belum dikurniakan anak, hanya Allah sahaja yang tahu apa perasaan mereka. Sebenarnya aku tertarik dengan seorang kawan baru yang baharu aku kenali baru-baru ini. Kahwin sudah masuk tahun ke 12 tetapi masih belum dikurniakan anak sehingga sekarang, namun jelas terpancar diantara mereka perasaan cinta antara mereka. Berjalan bersama masih lagi berpegangan tangan walaupun bersama keluarga mertua dan kawan-kawan, mengucapkan sayang dan i love you tidak lekang dari sebutan di mulut.

Semasa bertugas di Malaysia timur, ada kisah pasangan yang belum dikurniakan anak berpindah ke semenanjung dan alhamdulillah dikurniakan anak tidak lama selepas itu. Apabila aku menanyakan hal ini dengan orang tua-tua memang ada sesetengah mereka mengakui tentang kebenaran ini. Hujah mereka, perubahan suasana dan perasaan membantu proses membuat anak. Bagi pasangan yang belum mempunyai anak, cuba-cubalah berhijrah manalah hendak tahu dengan penghijrahan tersebut dapat membawa sinar yang ditunggu-tunggu selama ini! Siapa tahu?